Sunday, April 3, 2011

Program Pintar Cerdas di Malaysia

Golongan pelajar pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962.  Dalam Sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh sekolah rendah mereka daripada 6 tahun kepada 5 tahun sahaja.  Perlaksanaan sistem ini telah diberhentikan pada awal tahun 1970an. Namun demikian pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan mengenai Kanak-kanak Bergeliga telah diadakan.  Ekoran daripada Simposium tersebut isu kanak-kanak pintar cerdas ini kembali diperkatakan.  Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983, bertujuan untuk mengenal pasti individu pintar cerdas.  Pada tahun 1985, pihak Universiti Malaya pula telah mengorak langkah memulakan Program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas.  Manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987.
            Menyedari tentang kepentingan untuk memberi perhatian terhadap program pendidikan khusus untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.  Hasil 33 daripada seminar tersebut, didapati bahawa perancangan dan pelaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas serta berbakat.Ekoran dengan itu, pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS).  Penilaian ini dilaksanakan ke atas pelajar-pelajar Tahun Tiga sekolah rendah.  Pelajar yang berjaya memperolehi tahap maksimum dibenar meneruskan persekolahan ke Tahun 5, tanpa perlu mengikuti persekolahan Tahun 4.  Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja. Yang terbaru ,Program Permata Pintar yang dilaksanakan dibawah kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia telah dilancarkan untuk mengendalikan aktiviti berkaitan dengan murid pintar cerdas.
Usaha untuk menguruskan pelajar pintar cerdas di sesebuah sekolah memerlukan beberapa proses pengurusan tertentu agar pelajar mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang disediakan untuk mereka.  Terdapat beberapa pendapat bagaimana seharusnya pelajar yang pintar cerdas ini harus diberikan didikan ( Mizan Adiliah, 2001).  Antaranya ialah dengan memperkenalkan rancangan ekspres atau accelerated, memperkenalkan kaedah berkelompok, dan akhir sekali ialah proses pengayaan.  Proses pengayaan ini memerlukan masa, bantuan pakar, kaunselor dan peralatan bagi guru-guru.

No comments:

Post a Comment