Sunday, April 3, 2011

Elemen P&PKanak-Kanak Pintar Cerdas

Menurut Winebrenner (2001),terdapat lima elemen penting bagi murid pintar cerdas iaitu kandungan, proses, produk, persekitaran dan penilaian.  Dalam isi kandungan, guru harus  menyediakan  kandungan pengajaran yang sesuai dan mencabar.  Isi kandungan pelajaran yang diajar perlu lebih kompleks, pelbagai sumber, penggabungjalinan dengan disiplin-disiplin pelajaran yang lain, serta bersifat kritis dan kreatif.  Fokus utama guru adalah pemahaman murid dalam isi kandungan pelajaran bukannya terhad kepada penyampaian maklumat semata-mata.
Proses pula merujuk kepada kaedah yang digunakan oleh murid-murid pintar cerdas ini dalam membuat kesimpulan  dan  generalisasi terhadap sesuatu standard yang diperlukan. Proses yang dilalui perlu menggalakkan pemikiran kreatif dan produktif, konseptual, soalan yang berbentuk terbuka dan perkongsian terhadap apa yang mereka telah pelajari.  Proses ini juga berbeza mengikut kaedah pembelajaran sama ada dengan pembelajaran berkumpulan, pendekatan kepintaran pelbagai  dan gaya pembelajaran yang berbeza, peluang belajar pada aras yang lebih kompleks  dan penyelidikan yang menjurus kepada situasi sebenar
Produk mengilustrasikan hasil pelajaran dan proses pembelajaran yang telah mereka lalui.  Kebanyakan murid pintar cerdas dan berbakat tidak gemarkan tugasan berbentuk penulisan kerana pada asasnya, otak dan minda mereka bergerak lebih pantas berbanding tangan mereka.  Mereka lebih berminat untuk menghasilkan produk yang berbentuk nyata seperti membuat pameran, kajian bebas atau dalam bentuk persembahan.  Dr. Joseph Renzulli menegaskan bahawa murid pintar cerdas dan berbakat ini harus dibimbing untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memberi manfaat dan meningkatkan perasaan ingin tahu mereka. 
Elemen persekitaran sangat penting bagi murid-murid pintar cerdas dan berbakat. Ini kerana mereka lebih kreatif apabila belajar dalam persekitaran yang kundusif. Murid pintar cerdas ini lebih suka pembelajaran yang  melibatkan masa di luar bilik darjah seperti menjalankan kajian bebas dan tugasan yang berbeza berbanding rakan-rakan sebaya.  Persekitaran luar bilik darjah dapat memperkembangkan lagi tahap pencapaian dan penguasaan murid-murid dalam menjalankan sesuatu tugas sekiranya diberi masa yang sesuai.
Penilaian juga amat penting bagi murid pintar cerdas. Seharusnya murid-murid ini diberi peluang secara konsisten untuk menguasai sesuatu pelajaran sebelum meneruskan pelajaran yang lain.  Mereka juga seharusnya diberi peluang untuk mencipta rubrik pemarkahan mereka sendiri berdasarkan proses pembelajaran yang telah mereka lalui.  Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam menilai pembelajaran mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment