Sunday, April 3, 2011

Strategi P&P Pintar Cerdas

Guru juga harus mengetahui strategi yang tepat untuk pengajaran dan pembelajaran murid pintar cerdas ini. Pendidikan hari ini mengalami perubahan dan anjakkan paradigma iaitu daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada pembelajaran yang berpusatkan murid.  Menurut Rief ( 1995 ), proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan efektif memerlukan pelbagai pendekatan atau pengajaran yang melibatkan pelbagai sensori.  Ini disebabkan oleh cara bagaimana otak merangsang dan memproses maklumat.  Murid tersebut tentu berupaya mendengar, membaca, bertutur dan menulis secara serentak pada masa yang sama.
Menurut Hassan Hj Mohd Ali (1996), pembelajaran yang bersistem merupakan cara yang paling berkesan untuk mengembangkan daya pintar cerdas ke tahap yang optimum. Tahap kecerdasan pelajar yang maksimum ialah apabila sesuatu yang realiti telah membangkitkan perhatian, minat, tumpuan dan penglibatan mereka sepenuhnya dalam melakukan sesuatu perkara.  Oleh itu, guru seharusnya menjadikan persekitaran sekolah dan kelas sesuatu yang menarik dan merangsang murid sepenuhnya, bukan sahaja tempat yang menyeronokkan bagi kanak-kanak bahkan juga menjadikan kanak-kanak sebagai individu yang pintar dan cerdas ( Sternberg, 1997). 
Menurut Gardner (1983), dalam sistem pendidikan hari ini hanya menekankan kecerdasan verbal dan kecerdasan logik matematik sahaja.  Dengan itu, terdapat murid yang mempunyai potensi diri atau kecerdasan tertentu berasa bosan dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang sama di dalam kelas.  Ini kerana pendekatan yang dilaksanakan oleh guru tidak memberi rangsangan yang positif kepada murid tersebut.  Fowler (1990) pula berpendapat murid yang mempunyai kebolehan bahasa dan logik boleh berjaya di sekolah tetapi mereka tidak cerdas sepenuhnya apabila keluar dari lingkungan persekolahan.  Dengan mengenalpasti kecenderungan dan kecerdasan masing-masing, murid mungkin akan lebih bersemangat untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik manakala proses pengajaran guru yang berlangsung di dalam kelas akan menjadi lebih efektif dan berkesan.
Sebaliknya, yang sering terjadi ialah murid didedahkan kepada fakta sesuatu mata pelajaran tetapi tidak diajar berfikir tentang isi yang dipelajari.  Pendekatan yang digunakan di kebanyakkan sekolah merupakan pembelajaran yang berpusatkan guru  iaitu murid diberi semua maklumat tanpa memikirkan bagaimana menggunakan dan mencari maklumat tersebut.  Mengikut Raths ( 1971), oleh kerana pengajaran pemikiran diabaikan, murid didapati sangat bergantung kepada guru dan bertingkahlaku impulsif, dan malas memberi pendapat.
Dalam perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), satu aspek penting yang disarankan tentang pengajaran-pembelajaran ialah murid tidak hanya menerima pengetahuan semata-mata tetapi mereka seharusnya dapat menyatakan idea, fikiran dan pendapat dengan jelas, objektif, kreatif, rasional dalam semua situasi.  Untuk mencapai hasrat ini, peluang bagi meningkatkan daya intelek perlu diwujudkan supaya pemikiran yang kritis dan analitis akan menjadi salah satu aspek yang penting dalam tiap-tiap aktiviti pembelajaran ( Pusat Perkembangan Kurikulum).  Komitmen untuk menggalakkan kemahiran berfikir kritis telah menjadi satu agenda utama pendidikan di Malaysia.  Kemahiran berfikir kritis ialah satu kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea.  Para pendidik bersetuju bahawa kemahiran berfikir kritis dapat dipertingkatkan dikalangan murid melalui proses pengajaran secara eksplisit yang menggunakan situasi harian sebagai konteks pembelajaran (Ristow, 1988). 
Disebabkan kanak-kanak cerdas lazimnya mengetahui banyak maklumat pada sesuatu masa, kita cenderung untuk membuat andaian bahawa mereka menguasai strategi yang diperlukan bagi membolehkan mereka belajar secara bersendirian dengan berkesan.  Namun begitu, mereka adalah sama seperti kanak-kanak lain di mana perlu menerima latihan khusus untuk membolehkan mereka menguasai teknik belajar yang berkesan ( Twining, 1991).  Untuk menjauhkan diri daripada gaya pembelajaran yang pasif, kanak-kanak perlu meningkatkan tahap kepekaan terhadap perkembangan diri, perubahan dalam persekitaran, dan peluang pembelajaran untuk diri mereka.  Kecerdasan yang tidak dicungkil dan dijaga akan hilang mengikut masa ( Gardner, 1983 ).  Oleh itu, guru harus mengambil langkah yang sewajarnya agar kecerdasan dan potensi diri murid  benar-benar dicungkil untuk memenuhi matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan masyarakat yang berpotensi daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Walaupun Kementerian Pelajaran telah menekankan pengajaran kemahiran berfikir dalam kurikulum di sekolah-sekolah, tetapi masih kurang diberi perhatian oleh para pendidik.  Pengajaran daya pemikiran tidak ditekankan mungkin disebabkan oleh para guru yang berpendapat bahawa murid perlu menguasai kesemua fakta dan konsep mata pelajaran terlebih dahulu sebelum digalakkan berfikir.  Tetapi sesudah mengajar kesemua fakta dan konsep, sudah tidak mempunyai masa untuk menggalakkan mereka memikir.  Sesetengah pendidik pula merasakan pengajaran kemahiran berfikir merupakan sesuatu tugas yang membebankan.
Selain daripada itu, penekanan peperiksaan yang menekankan pengujian kebolehan murid mengingati semula fakta menyebabkan para guru mengutamakan penghafalkan dan mengabaikan pengajaran kemahiran berfikir kepada para murid.  Amalan seumpama ini bercanggah dengan salah satu prinsip utama pembelajaran yang menyatakan bahawa bukan apa yang disampaikan kepada pelajar tetapi mendorong mereka melakukan sesuatu ke atas maklumat itu yang akan menyebabkan berlakunya proses pembelajaran (Markle, 1997).
Kemahiran berfikir semakin ditekankan dan diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Ini kerana perkembangan dunia masa kini, teknologi maklumat semakin berkembang lalu berlakunya ledakan maklumat perlu mempunyai kemahiran berfikir supaya dapat membezakan maklumat yang berguna dan menggunakan maklumat itu dengan baik.  Pemikiran yang kritis juga dapat membantu murid menyelesaikan masalah yang timbul semasa proses pengajaran dan pembelajaran lalu dari proses menyelesaikan masalah itu, murid dapat mempelajari sesuatu ilmu yang baru.
Pembelajaran yang berkesan itu seharusnya mempunyai ciri-ciri di mana murid berada dalam keadaan yang ceria serta berminat terhadap apa yang dipelajari serta bergerak aktif berinteraksi dengan menggabungkan aspek mental, rohani dan jasmani dalam apa jua aktiviti yang diadakan.  Menurut Dr Ismail Zain dalam motivasi utusan – Portal Pendidikan 2005, di antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya rasa minat untuk belajar di bilik darjah.  Guru memainkan peranan yang penting ke arah mewujudkan satu suasana yang menyeronokkan di mana suasana pembelajaran tersebut dapat memberi satu impak kepada murid dalam proses pembelajaran.
Oleh itu, guru seharusnya mengambil langkah yang efisien iaitu menerapkan elemen Teori Kecerdasan Pelbagai dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.  Teori ini dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar yang tidak terbatas kerana bukan semua pelajar boleh belajar dengan cara yang sama.  Menurut Mckenzie (1999) guru seharusnya mencari kelemahan dan kekuatan seseorang pelajar melalui pelbagai jenis kecerdasan. Salah satu elemen yang dapat diterapkan dalam pengayaan kurikulum dan prinsip-prinsip pendidikan pintar cerdas melalui konteks Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner pada tahun 1983.  Terdapat lapan kecerdasan yang biasa dimiliki oleh manusia yang dinyatakan oleh Gardner ialah kecerdasan verbal linguistik, kecerdasan logik matematik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan visual ruang, kecerdasan kinestatik, kecerdasan muzik dan kecerdasan naturalis.  Teori ini menyatakan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan membangunkan kesemua kecerdasannya dengan adanya galakkan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
Mckenzie (1999) menggunakan beberapa langkah untukmengaplikasikan teori ini.  Langkah yang pertama ialah mencari kekuatan dan kelemahan murid, kemudian beliau akan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kecerdasan pelbagai murid.  Seterusnya beliau mempertajamkan lagi potensi yang ada dalam diri murid.  McKenzie lalu menyenaraikan kaedah pengajaran dan aktiviti pengajaran berasaskan teori kecerdasan tersebut.  Murid diajar berdasarkan kecenderungan mereka kepada sesuatu jenis kecerdasan dan memberikan contoh ahli fikir yang terkenal dan berkaitan dengan kecerdasan tersebut bagi memotivasikan para murid.
Setiap murid berupaya mengembangkan kelapan-lapan jenis kecerdasan melalui cara yang berbeza-beza.  Murid yang mencapai tahap penguasaan yang tinggi dalam enam atau tujuh jenis kecerdasan merupakan pelajar yang luar biasa.  Namun begitu, terdapat juga pelajar yang berjaya mengembangkan satu jenis kecerdasan ke tahap yang tinggi manakala pengembangan kecerdasan yang lain ketinggalan jauh di belakang.  Oleh itu, apa yang penting dan ingin ditekankan di sini adalah setiap orang perlu diberi peluang dan bimbingan untuk mengembangkan potensi diri mereka ke tahap yang optimum dalam pelbagai jenis kecerdasan ( Nik Azis, 1999). Murid yang cenderung terhadap sesuatu kecerdasan mempunyai kegemaran tingkahlaku serta gaya pembelajaran yang tertentu dan tersendiri.  Guru boleh mengambil kesempatan tersebut dengan melakukan beberapa aktiviti khas yang padan dengan kecerdasan dan gaya pembelajaran murid.  Yang penting bukanlah gaya tersebut tetapi hasil daripada pembelajaran yang telah dilakukan.  Setiap minit yang diperuntukkan akan hanya bermakna sekiranya murid itu dapat memahami dan mengingati fakta dan konsep penting pelajaran berkenaan.  Guru perlu mengetahui bahawa tidak ada kecerdasan yang berfungsi secara bersendirian.  Kecerdasan adalah saling berinteraksi dan berkait antara satu sama lain.  Seseorang murid itu tidak semestinya memiliki set kelebihan tertentu untuk dianggap sebagai cerdas kerana setiap orang individu telah dilahirkan dengan memiliki kelebihan masing-masing.
Dalam pembelajaran kemahiran berfikir, terdapat alat-alat yang kita gunakan dalam melaksanakan pengurusan berfikir. Yang dimaksudkan dengan alat-alat berfikir ialah elemen-elemen dalam pengurusan berfikir antaranya pengurusan grafik dan pengurusan kata-kata. Hal-hal tersebut amat perlu dalam proses berfikir dan kemahiran berfikir ( Samsu Yaacob, 1996). Pengurusan grafik bermaksud ilustrasi bergambar atau grafik yang mewakili sesuatu pernyataan. Pengurusan grafik menggambarkan perhubungan atau perkaitan sesuatu fakta dengan idea-idea lain bagi memudahkan pemahaman dan penyusunan pemikiran yang merangsangkan proses berfikir dan kemahiran berfikir. Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) dapat diajarkan dengan pelbagai strategi yang memberikan penekanan kepada cara penyampaian yang menggalakkan murid berfikir dan menguasai kemahiran serta isi pelajaran yang sedang disampaikan oleh guru.




Elemen P&PKanak-Kanak Pintar Cerdas

Menurut Winebrenner (2001),terdapat lima elemen penting bagi murid pintar cerdas iaitu kandungan, proses, produk, persekitaran dan penilaian.  Dalam isi kandungan, guru harus  menyediakan  kandungan pengajaran yang sesuai dan mencabar.  Isi kandungan pelajaran yang diajar perlu lebih kompleks, pelbagai sumber, penggabungjalinan dengan disiplin-disiplin pelajaran yang lain, serta bersifat kritis dan kreatif.  Fokus utama guru adalah pemahaman murid dalam isi kandungan pelajaran bukannya terhad kepada penyampaian maklumat semata-mata.
Proses pula merujuk kepada kaedah yang digunakan oleh murid-murid pintar cerdas ini dalam membuat kesimpulan  dan  generalisasi terhadap sesuatu standard yang diperlukan. Proses yang dilalui perlu menggalakkan pemikiran kreatif dan produktif, konseptual, soalan yang berbentuk terbuka dan perkongsian terhadap apa yang mereka telah pelajari.  Proses ini juga berbeza mengikut kaedah pembelajaran sama ada dengan pembelajaran berkumpulan, pendekatan kepintaran pelbagai  dan gaya pembelajaran yang berbeza, peluang belajar pada aras yang lebih kompleks  dan penyelidikan yang menjurus kepada situasi sebenar
Produk mengilustrasikan hasil pelajaran dan proses pembelajaran yang telah mereka lalui.  Kebanyakan murid pintar cerdas dan berbakat tidak gemarkan tugasan berbentuk penulisan kerana pada asasnya, otak dan minda mereka bergerak lebih pantas berbanding tangan mereka.  Mereka lebih berminat untuk menghasilkan produk yang berbentuk nyata seperti membuat pameran, kajian bebas atau dalam bentuk persembahan.  Dr. Joseph Renzulli menegaskan bahawa murid pintar cerdas dan berbakat ini harus dibimbing untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memberi manfaat dan meningkatkan perasaan ingin tahu mereka. 
Elemen persekitaran sangat penting bagi murid-murid pintar cerdas dan berbakat. Ini kerana mereka lebih kreatif apabila belajar dalam persekitaran yang kundusif. Murid pintar cerdas ini lebih suka pembelajaran yang  melibatkan masa di luar bilik darjah seperti menjalankan kajian bebas dan tugasan yang berbeza berbanding rakan-rakan sebaya.  Persekitaran luar bilik darjah dapat memperkembangkan lagi tahap pencapaian dan penguasaan murid-murid dalam menjalankan sesuatu tugas sekiranya diberi masa yang sesuai.
Penilaian juga amat penting bagi murid pintar cerdas. Seharusnya murid-murid ini diberi peluang secara konsisten untuk menguasai sesuatu pelajaran sebelum meneruskan pelajaran yang lain.  Mereka juga seharusnya diberi peluang untuk mencipta rubrik pemarkahan mereka sendiri berdasarkan proses pembelajaran yang telah mereka lalui.  Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam menilai pembelajaran mereka sendiri.

8 Jenis Kecerdasan Pelbagai

Kajian Gardner berjaya membuktikan terdapat pelbagai kecerdasan lain yang patut diambil kira sebelum menyatakan seseorang itu cerdas ataupun bijak. Gardner mengenalpasti 8 jenis kecerdasan manusia (Chapman, 1993), iaitu:

1)Kecerdasan 1: Verbal/Linguistik
Kecerdasan ini berkait rapat dengan kemahiran penggunaan bahasa. Seseorang yang cerdas verbal kebiasaannya mahir membaca, menulis dan berkomunikasi dengan orang lain melalui pelbagai cara yang berkesan.

2)Kecerdasan 2: Logikal/Matematik
Kecerdasan ini melibatkan kemahiran menaakul, mengira, berfikir secara logic dan memproses sesuatu maklumat yang diterima.

3)Kecerdasan 3: Visual/Spatial (ruang)
Kecerdasan ini melibatkan keupayaan berfikir dalam bentuk visual dan gambar ataupun rajah.

4)Kecerdasan 4 : Pergerakan Badan/Kinestetik
Kecerdasan ini melibatkan keupayaan menyelesaikan sesuatu masalah menggunakan pergerakan badan.

5)Kecerdasan 5: Muzikal/Rima
Kecerdasan ini melibatkan keupayaan mencipta muzik ataupun rentak tertentu, berupaya memahaminya, menterjemahkannya dan menghargainya.

6)Kecerdasan 6: Interpersonal
Kecerdasan ini melibatkan keupayaan memahami emosi, perasaan, ciri-ciri dan keupayaan orang lain dan bagaimana berinteraksi dengan mereka.

7)Kecerdasan 7:Intrapersonal
Kecerdasan ini melibatkan keupayaan memahami diri sendiri dan menggunakan pengetahuan itu bagi meningkatkan potensi diri sepanjang hayat.

8)Kecerdasan 8:Naturalis
Kecerdasan ini melibatkan keupayaan memerhati, memahami dan menghargai alam sekitar.

Program Pintar Cerdas di Malaysia

Golongan pelajar pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962.  Dalam Sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh sekolah rendah mereka daripada 6 tahun kepada 5 tahun sahaja.  Perlaksanaan sistem ini telah diberhentikan pada awal tahun 1970an. Namun demikian pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan mengenai Kanak-kanak Bergeliga telah diadakan.  Ekoran daripada Simposium tersebut isu kanak-kanak pintar cerdas ini kembali diperkatakan.  Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983, bertujuan untuk mengenal pasti individu pintar cerdas.  Pada tahun 1985, pihak Universiti Malaya pula telah mengorak langkah memulakan Program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas.  Manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987.
            Menyedari tentang kepentingan untuk memberi perhatian terhadap program pendidikan khusus untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.  Hasil 33 daripada seminar tersebut, didapati bahawa perancangan dan pelaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas serta berbakat.Ekoran dengan itu, pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS).  Penilaian ini dilaksanakan ke atas pelajar-pelajar Tahun Tiga sekolah rendah.  Pelajar yang berjaya memperolehi tahap maksimum dibenar meneruskan persekolahan ke Tahun 5, tanpa perlu mengikuti persekolahan Tahun 4.  Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja. Yang terbaru ,Program Permata Pintar yang dilaksanakan dibawah kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia telah dilancarkan untuk mengendalikan aktiviti berkaitan dengan murid pintar cerdas.
Usaha untuk menguruskan pelajar pintar cerdas di sesebuah sekolah memerlukan beberapa proses pengurusan tertentu agar pelajar mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang disediakan untuk mereka.  Terdapat beberapa pendapat bagaimana seharusnya pelajar yang pintar cerdas ini harus diberikan didikan ( Mizan Adiliah, 2001).  Antaranya ialah dengan memperkenalkan rancangan ekspres atau accelerated, memperkenalkan kaedah berkelompok, dan akhir sekali ialah proses pengayaan.  Proses pengayaan ini memerlukan masa, bantuan pakar, kaunselor dan peralatan bagi guru-guru.